Cendawan mekah
Cendawan mekah

Cendawan mekah

Cendawan mekah (Jawi: ‏چنداون مکه‎‎) atau SCOBY (Jawi: ‏سکوبي‎‎; daripada bahasa Inggeris; akronim bagi symbiotic culture of bacteria and yeast; "kultur simbiosis bakteria dan ragi"), ialah sekumpulan sel yang terbentuk selepas proses penapaian bakteria asid laktik (BAL), bakteria asid asetik (BAA) dan ragi untuk menghasilkan beberapa makanan dan minuman masam seperti kombuca dan kimci.[1] Bir dan wain juga melalui proses penapaian dengan ragi, tetapi cendawan mekah menghasilkan bakteria asid laktik dan bakteria asid asetik, dua komponen yang dianggap sebagai perosak bir dan wain.[2][3] BAL dan BAA berada pada permukaan barli dan malt dalam penapaian bir dan anggur dalam penapaian wain; BAL menurunkan nilai pH bir manakala BAA gunakan etanol yang dihasilkan oleh ragi dan mengoksidakannya kepada cuka, menghasilkan rasa dan bau masam. BAA jugalah sebab cendawan mekah terbentuk.Biasanya, cendawan mekah menyerupai sebuah saput selulosa lembik seperti agar-agar, yang terapung di permukaan cecairnya. Indung bakteria ini juga dipanggil pelikel atau kulipis.[4] Kulipis ini dapat meneruskan proses penapaian di dalam bekas baharu dan menghasilkan bahan yang diinginkan itu semula. Ini dapat terjadi kerana cendawan mekah bukan sahaja dapat menyimpan bahan simbiosis itu malah juga menyimpan sedikit daripada medium dan hasil sebelumnya itu disebabkan oleh kemampuan cendawan mekah untuk menyerap air.[1] Kepadatan sel cendawan mekah dalam saputnya berbeza antara satu sama lain kerana sekitaran penapaian yang menghasilkan hasil akhir mungkin berbeza-beza; ada banyak kajian sedang dijalankan untuk mengenal pasti nisbah cendawan mekah optimum—jika ada—kepada kultur cecair untuk memastikan ketekalan hasil akhir kerana setakat ini belum ada tatacara pengendalian piawai yang wujud. Maklumat lanjut seperti sekitaran organisma dan kultur yang diperlukan untuk menapai dan membentukkan cendawan mekah, ciri-ciri saputnya dan penggunaannya dalam makanan dan minuman dengan penekanan khas terhadap kombuca dapat dibaca di bawah.

Berkaitan